Rumah kecil atau lebih dikenali sebagai tiny house atau rumah comel, rumah mini dan sebagainya jelas semakin popular dalam masyarakat.
Sudah ada pereka dan kontraktor yang fokus hanya kepada pembinaan rumah jenis ini. Ini menunjukkan bahawa sudah ada permintaan yang mencukupi untuk mereka mengembangkan bisnes dalam sektor ini sahaja.
Apapun, sebagai pemilik atau pelabur yang berhajat nak keluar modal untuk bina rumah kecil, anda perlu peka kepada salah satu aspek penting tentang rumah-rumah jenis ini, iaitu bahan atau komponen yang digunakan untuk membinanya.
Ada banyak jenis komponen bahan yang ditawarkan untuk membina rumah kecil.
Ada yang berasaskan konkrit dan batu bata, ada yang berasaskan kayu, ada yang berangka besi dan dilengkapi komponen-komponen IBS, ada kabin pasang siap dari China dan sebagainya.
Bergantung kepada jenis bahan atau komponen yang digunakan, cara atau kaedah pembinaan juga berbeza. Ada yang boleh siap dalam tempoh sangat singkat. Ada yang akan mengambil masa pembinaan normal.
Ia adalah antara faktor-faktor yang mempengaruhi pilihan pemilik.
Selain faktor tempoh siap, faktor kos, faktor boleh alih, boleh ubahsuai dan sebagainya turut memainkan peranan khususnya bagi mereka yang melihat rumah kecil bukanlah binaan yang perlu dikekalkan selama-lamanya.
Tetapi bagi yang melihat rumah kecil mereka sebagai satu bentuk pelaburan jangkapanjang di suatu lokasi tetap, pada kami adalah sangat penting untuk mereka memilih bahan atau komponen bangunan yang paling boleh diharap tetapi dalam masa sama tetap versatile.
Bahan atau komponen IBS mungkin cepat siap atau murah katanya, tetapi ia mungkin perlu lebih perhatian dan lebih belanja penyelenggaraan di sepanjang tempoh hayatnya.
Ia mungkin kurang berdaya tahan dalam menghadapi elemen persekitaran seperti iklim dan cuaca, makhluk-makhluk perosak dan sebagainya berbanding dengan rumah kecil yang dibina dari bahan yang lebih padu seperti batu-bata dan konkrit.
Oleh itu, sebelum membuat keputusan nak guna bahan atau komponen apa untuk rumah kecil anda, fahami dulu kelebihan dan kekurangan setiap pilihan bahan dan komponen yang digunakan.
Jangan tengok pada gambar-gambar portfolio pemasaran semata-mata kerana jika cantiknya cuma pada komponen yang sebenarnya bersifat aksesori atau kemasan, ia mungkin tidak berbaloi dalam jangkamasa panjang.
Pilih untuk membina dengan bahan dan komponen asas yang sudah terbukti berdaya tahan dalam persekitaran negara kita. Malah kos membinanya pun mungkin sebenarnya lebih murah. Nak nampak cantik, itu pasal kebijaksanaan memilih kemasan dan mentatarias.
Apa pun, kalau rumah kecil itu sememangnya dibina untuk memenuhi impian peribadi dan untuk kegunaan sendiri, tak apa nak pakai bahan atau komponen yang fancy-fancy. Siapa lagi yang nak penuhkan impian kita kalau bukan kita sendiri.
Tapi kalau ia adalah untuk tujuan pelaburan, misalnya nak buat bisnes homestay, pilih saja bahan dan komponen yang tak manja – yang sentiasa perlukan belaian dan belanja.
Penat buat housekeeping tak apa, maknanya ramai pelanggan. Jangan penat merepair sekali.





Leave a Reply